- By Admin
- 7 August 2025
- Nasional
Kunjungan menteri UK perkukuh kerjasama pembangunan tenaga kerja -HRD Corp.
KUALA LUMPUR – Kunjungan hormat Menteri Kemahiran merangkap Menteri Wanita dan Kesaksamaan, Jabatan Pendidikan UK, Baroness Smith of Malvern ke ibu pejabat Human Resource Development Corporation (HRD Corp), baru-baru ini menjadi platform kepada kedua-dua negara meneroka potensi kerjasama dua hala.
HRD Corp dalam kenyataannya berkata, pertemuan pada 31 Julai itu turut membuka peluang kepada perkongsian maklumat mengenai inisiatif Malaysia dalam bidang latihan kemahiran, pembangunan tenaga kerja dan bakat tempatan serta perkembangan terkini UK dalam bidang sama.
Dalam masa yang sama, pertemuan tersebut turut menonjolkan peranan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) melalui HRD Corp sebagai agensinya, dalam menganjurkan Tahun Kemahiran ASEAN (ASEAN Year of Skills – AYOS) 2025, sebuah inisiatif bersempena dengan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia.
Lawatan ini bukan sahaja mengeratkan hubungan dua hala tetapi turut mengukuhkan hasrat bersama untuk memacu kerjasama antarabangsa yang bermakna di bawah Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia,” kata Pengerusi HRD Corp, Datuk Abu Huraira bin Abu Yazid.
Beliau turut berkongsi bahawa HRD Corp kini sedang menyelaras tujuh platform utama di bawah AYOS 2025 yang memfokus kepada pembangunan kemahiran peringkat tinggi, termasuk Forum Kemahiran Global (Global Skills Forum – GSF) yang bakal diadakan pada bulan Oktober, anjuran bersama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dengan sokongan Sekretariat ASEAN.
“GSF menawarkan peluang besar untuk memajukan perbincangan global berkenaan transformasi kemahiran dan kami amat mengalu-alukan penyertaan rakan antarabangsa, termasuk UK, bagi menjayakannya”, ujar beliau.
Sementara itu, Ketua Eksekutif HRD Corp, Dr Syed Alwi bin Mohamed Sultan berpendapat, pertemuan tersebut adalah cerminan bersama Malaysia dan UK untuk membina tenaga kerja yang berdaya tahan, dinamik dan bersedia menghadapi masa hadapan.
“Perjumpaan ini merupakan komitmen kami untuk memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negara dalam bidang pendidikan, pembangunan bakat dan Inovasi. Semua ini penting untuk bersaing dalam ekonomi global yang semakin mencabar dan pantas berubah,” katanya.
Kunjungan Baroness Smith of Malvern yang diiiringi Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Ajay Sharma disambut Setiausaha Politik kepada Menteri Sumber Manusia Dr. Kelvin Yii Lee Wuen; Pengerusi HRD Corp dan Ketua Eksekutif HRD Corp.
Sementara itu, KESUMA turut diwakili oleh Raja Nizam Raja Kamarulbahrain, Setiausaha Bahagian Antarabangsa, manakala barisan kepimpinan kanan HRD Corp hadir untuk menyokong sesi ini.
Manakala delegasi dari UK turut disertai Dr. Faye Taylor, Timbalan Pengarah Strategi, Jabatan Pendidikan UK; Hannah Deighan, Setiausaha Sulit kepada Yang Berhormat Baroness Smith; Izza Ismail, Penasihat Serantau Pendidikan dan Kemahiran, Pejabat Luar, Komanwel & Pembangunan, Suruhanjaya Tinggi British Kuala Lumpur; Min Mahayuddin, Pengurus Kanan Perdagangan, Suruhanjaya Tinggi British Kuala Lumpur serta Prabha Sundram, British Council Malaysia. -MalaysiaGazette